Sumber Dari : Sharul Zahri Ahmad
HIDUP berkat akan sentiasa mencukupkan dan kecukupan itu membolehkan kita memperoleh keberkatan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, kita perlu sentiasa berusaha untuk meraih keberkatan hidup di sisi Allah dan berdoa supaya kehidupan kita sentiasa diberkati oleh-Nya.
Berkat, berkah atau barakah adalah ayat yang sering meniti di bibir kerana barakah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud tumbuh, berkembang dan kemudian bercabang antara satu sama lain saling berdekatan.
Secara terminologi, berkat adalah kebaikan yang bersumber daripada Allah yang ditetapkan terhadap sesuatu sebagaimana semestinya. Persoalannya, sudahkah kita merasai keberkatan berkenaan atau sama seperti mereka yang tidak sempat beramal dan mengingati Allah kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia.
Walhal gemerlap dunia ini ibarat meminum air laut, semakin banyak diminum semakin menambah rasa haus dan tidak akan pernah merasa cukup terhadap apa yang sudah dimilikinya. Orang yang tidak pernah puas dan bersyukur tidak akan pernah bahagia.Hidupnya menjadi tidak berkat di sisi Allah dan menderita. Namun orang yang merasa cukup dengan apa yang dimilikinya, Allah SWT akan memberikan kurnia-Nya yang melimpah.
Sabda Rasulullah: “Barang siapa yang memasrahkan keperluannya kepada Allah, nescaya Dia akan mendatangkan kepadanya rezeki dengan segera atau menunda kematiannya.” (Hadis riwayat Ahmad).
Menurut Ath-Thabathaba’i, kebaikan bersumber daripada Allah muncul tanpa diduga dan tidak terhitung sepanjang kehidupan, baik yang bersifat kebendaan mahupun berbentuk kerohanian. Mulianya hidup apabila kehidupan sentiasa diberkati Allah.
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah yang Maha Luas kurnia-Nya lagi Maha Tinggi akan menguji setiap hamba-Nya dengan rezeki yang Dia berikan kepadanya. Barang siapa yang reda dengan pemberian Allah, maka Allah akan memberkati dan melapangkan rezeki untuknya dan barang siapa yang tidak reda nescaya rezekinya tidak diberkati.” (Hadis riwayat Ahmad).
Justeru untuk meraih keberkatan dalam kehidupan, ada dua tuntutan syarat yang perlu dilaksanakan oleh setiap orang Islam.
Firman Allah: “Jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.” (Surah Al-A'raf, ayat 96).
Ayat ini menunjukkan balasan Allah bagi hamba-Nya yang beriman dan sekali gus menjadi penjelasan bahawa orang yang kufur kepada Allah tidak akan pernah merasakan keberkatan, tenang dan bahagia dalam hidupnya.
Justeru bagi membina iman, kita perlu membersihkan hati daripada sebarang dosa dan noda. Bersihkan hati daripada karat jahiliah yang akan menghalang hadirnya hidayah, petunjuk dan pertolongan Allah. Hati yang bersih akan menumbuhkan keimanan sebenar terhadap Allah.
Kedua, amal salih iaitu menjalankan perintah dan menjauhi larangan-Nya sesuai dengan syariat diajarkan Rasulullah.
Firman Allah: “Demi malam apabila menutupi dan siang apabila terang benderang dan penciptaan lelaki dan perempuan. Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza. Adapun orang yang memberikan (harta di jalan Allah) dan bertakwa dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah.” (Surah Al-Lail, ayat 1-7).
Sheikh Abdur Rahman as-Sa'di berkata, jika mereka melaksanakan perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya, nescaya Allah akan melimpahkan rezeki kepada mereka, langit dijadikan menurunkan hujan, bumi pula untuk menumbuhkan tanaman.
Semoga kita meraih keberkatan di sepanjang kehidupan. Tidak ada cara terbaik untuk kita beroleh keberkatan melainkan sentiasa merujuk kepada panduan terlengkap yang Allah SWT bekalkan iaitu melalui al-Quran.
Firman Allah: “Dan al-Quran ini adalah suatu kitab (peringatan) yang mempunyai berkat yang telah kami turunkan. Maka mengapakah kamu mengingkarinya?” (Surah Al-Anbiyaa', ayat 50).
Kini kunci untuk meraih keberkatan dalam kehidupan sudah terbongkar. Al-Quran memandu kita supaya berbekal dengan iman, takwa dan amal salih untuk meraih keberkatan selagi kita masih bernyawa di bumi Allah ini.
Firman Allah yang bermaksud : “Sesiapa beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).
No comments:
Post a Comment